Monday, March 12, 2018

Menjadi seorang suami
bukanlah dengan hanya mengahwini isterinya,
tetapi ibubapa, keluarga dan orang disekelilingnya,

Menjadi seorang suami,
bukanlah sekadar memberi nafkah zahir & batin,
tetapi pengorbanan hati dan kasih-sayang,

Menjadi seorang suami,
bukanlah sekadar berdua selamanya,
akan terlahir zuriat yang bakal mewarnai,

Menjadi seorang suami,
bukanlah sekadar gelaran dan tuntutan ugama,
tetapi tanggungjawab sebagai khalifah kecil yang harus digalas..

Dan apa pula seorang isteri?
bukanlah sekadar hiasan hidup..

Menjadi seorang isteri,
bukan hanya gelaran setelah di ijab & kabul dengan lafaz suci,
tetapi janji memikul tanggungjawab menjaga syurganya..

Menjadi seorang isteri,
bukan hanya melunaskan kehendak suami,
tetapi membahagiakannya dalam setiap saat bersama..

Menjadi seorang isteri,
bukan hanya menjaga 1 hati,
tetapi ibubapanya, keluarga dan rakan taulannya, asalkan menjaga batas Illahi..

Menjadi seorang isteri,
bukan hanya memasak, membasuh dan mengemas,
tetapi berusaha melahirkan kesinambungan zuriat keturunan syurganya..

Menjadi seorang isteri,
tidak hanya sekadar berkongsi kehidupan,
tetapi pahala dan dosa yang akan dicatat Raqib dan 'Atid, dua Malaikat yang sentiasa disisi..

Dan kalaulah perkahwinan itu terlalu banyak pengorbanan, apa gunanya berkahwin ??
percayalah, ketentuan Illahi itu adalah yang tersurat dan tersirat.
Nikmat yang kita lihat dimuka bumi ini hanyalah sebesar zarah, tetapi di sana nanti, ternanti nikmat yang tidak terhingga besarnya.

jadilah khalifah dalam keluargamu, bukan sekadar suami,
jadilah dayang dalam keluargamu, bukan sekadar isteri,
kerana jika keduanya saling memberi dengan seikhlas hati,
nescaya Syurga yang dijanji akan menanti...


Firman Allah dalam Surah An-Nisaa’ 4; Ayat 1 :

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahmi. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”


Firman Allah dalam Surah An-Nuur 24; Ayat 32 :

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya – pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.”


Firman Allah dalam Surah Adz-Dzariyaat 51; Ayat 49 :

Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.”


Sekian. Yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T dan kekurangan itu adalah kelemahan saya sebagai hambanya. Apapun, semoga perkongsian ini dapat memberikan kebahagiaan kepada pembaca.

Saya hanya memohon pembaca sedekahkanlah Al-Fatihah kepada seorang insan yang pernah dipinjamkan Illahi disisi saya, seorang wanita yang penyayang, penyabar, setia, cekal dan tabah, dialah Halimatus Saadiah Razali.

Mh Hanafi SirMhD

02.28pm / 13.3.2018